Aku Masih Suka Pergi Kedai
Dan aku pun terima banyak iklan tentang jualan 11.11 ni di Instagram. Nasib baik tak muncul dalam YouTube sebab aku guna YouTube Premium (setakat ni percuma sebab ada promosi untuk pengguna telefon Samsung Galaxy). Banyak kawan-kawan aku pun beli barang kat internet melalui kempen ni. Kira memang kecohlah, semua orang beli itu ini pada 11 November.
Tapi aku sebenarnya tak pernah tertarik dengan membeli sesuatu produk fizikal daripada internet. Aku lebih gemar untuk pergi ke kedai dan sentuh sendiri barang yang aku mungkin pertimbangkan untuk beli. Rasa lebih puas kalau aku boleh pegang dulu produk tu sendiri sebelum membelanjakan wang aku.
Hahaha nampaknya dah jelas yang aku ni dah tua, kan? Lebih gemar pergi ke kedai daripada beli di internet, konon.
Bukannya aku tak setuju dengan belian di internet, cuma aku takut kalau aku beli barang daripada Shopee atau Lazada, bila barang tu sudah sampai ke rumah aku, rupa-rupanya barang tu hanyalah indah khabar dari rupa. Tengok gambarnya di internet, bukan main cantik dan mantap lagi, tapi bila dah sampai rumah, kecewa dengan kualitinya.
Contohnya, waktu beli pakaian. Aku lebih suka pergi ke kedai fizikal dan cuba sendiri pakaian yang aku berminat dan tengok sama ada saiz dan ukurannya sesuai dengan badan aku. Kalau aku suka, aku beli. Kalau tak suka, duit aku selamat.
Kalau beli di internet, mana ada bilik fitting room untuk cuba pakaian. Aku tahu, kalau baju yang dibeli dari internet dah sampai rumah, biasanya akan ada polisi untuk kita pulangkan baju tu kalau kita tak suka. Tapi semua proses pulang-memulang ni sangat lecehlah. Aku nak beli baju, jadi tugas hantar-menghantar pula.
Satu lagi perkara yang aku tak suka tentang pembelian internet ni adalah… betapa mudahnya kita untuk berbelanja. Kalau dulu kita nak habiskan duit, perlu keluar pergi ke kedai dan cuci mata buat window shopping. Sekarang ni kaca rak dan digantikan dengan skrin komputer atau telefon. Klik klik klik, dah boleh beli barang.
Kemudahan inilah yang sebenarnya menakutkan aku. Aku takut aku nanti ketagih dengan shopping internet dan perlu kekal shopping hanya untuk memuaskan ketagihan aku. Fenomena ini memang sesuatu yang telah dilaporkan oleh media, dikenali sebagai shopper’s high. Dan aku rasa aku ada potensi untuk termakan ketagihan ini.
Jadi sebelum aku jadi ketagih ke apa, baik aku tak perlu beli barang-barang yang tak perlu di internet. Selamat sikit duit aku.
Comments
Post a Comment