Azam Tahun Baru 2020... Dan Untuk Tahun-tahun Depan

Gambar daripada ucapan tahun baru Pakatan Harapan.

Apa khabar semua. Dah lama saya tak menulis dalam blog ni, sampai hari ni dah sebulan lebih. Haih. Sebenarnya bila saya mulakan blog ni pada Oktober lepas, sasaran saya ialah untuk menulis satu karangan ringkas setiap minggu. 

Tetapi selepas saya berhenti bekerja di syarikat sebelum ini pada 17 Disember dan kemudian bercuti di Tokyo selama seminggu, saya terus mengangguhkan penulisan untuk blog saya. Dan semua orang tahu bahawa kerja yang asyik ditangguhkan memang tak akan siap.

Jadi pada hari ini yang masih lagi dikira dalam musim ‘Tahun Baru’ (dan kebetulan pula Tahun Baru Cina tak lama lagi), selepas beberapa kali bertangguh jadi saya rasa ada eloknya saya mulakan semula penulisan blog saya. Dan memandangkan ini adalah tulisan pertama untuk 2020, saya rasa sesuai untuk saya kongsikan azam saya untuk tahun ini.

Ya, ‘azam baru’ ialah konsep yang sangat bosan, ia cuma trend yang diajar sejak bangku sekolah dan hampir tentunya akan dilupakan menjelang bulan Februari. Tetapi azam saya di bawah ni saya dah pun mulakan sejak tahun lepas dan ia agak mudah, jadi saya rasa saya boleh kekal dengan azam baru saya ni. Malah, dengan menulisnya di sini saya harap saya boleh kekal padanya. Baiklah, berikut adalah azam baru saya,

- Kurangkan memandu dan sebarang aktiviti yang memburukkan alam sekitar.

Haha, ya memang bosan. "Let’s be environmentally friendly" adalah mesej yang memang agak bosan bila didengari sebab dia macam skema. Tapi sebenarnya bila difikirkan balik, ke mana lagi kita nak hidup kalau bukan di Bumi bertuah ni? Jadi budaya menjaga persekitaran ni kita perlu bermula sekarang.

Jelasnya, aku tidaklah cerdik untuk mencipta sesuatu alat atau mesin yang boleh membantu mengurangkan kesan pemanasan global. Jadi aku nak buat sesuatu yang lebih mudah: kurangkan penggunaan segalanya (less consumption). Secara asasnya, lebih kurang benda yang aku ambil, lebih kurang sampah (waste) yang aku tinggalkan.

Dan yang paling aku ingin kurangkan ialah memandu, sebab kereta adalah antara punca pencemaran yang paling teruk. Aku akan cuba hadkan pemanduan aku pada kerja dan balik kampung saja. Selain itu, aku dah kurangkan penggunaan beg plastik. Kalau aku pergi ke pasar atau kedai runcit, aku dah pun mula bawa plastik sendiri atau beg pakai semula.

Satu petikan daripada ucapan Sir David Attenboroug-lah yang telah membuatkan aku untuk mula amalkan budaya pakai semula dan kurangkan consumption:

“Cara yang paling mudah untuk selamatkan Bumi adalah kurangkan pembaziran. Jangan bazir makanan, jangan bazir tenaga dan yang lebih penting… jangan bazir masa.”

- Banyakkan makan angin dalam negara

Ya, ini mungkin agak bertentangan dengan azam aku untuk kurangkan penggunaan benda. Tetapi sekali-sekala, kita perlulah berehat dan berjalan-jalan untuk tenangkan fikiran dan keluar daripada tekanan kerja. Jadi kalau aku nak jalan-jalan, aku akan utamakan bercuti dalam negara.

Aku rasa macam banyak lagi tempat yang aku belum teroka dalam tanah air ni. Belum cerita tentang negeri Sabah dan Sarawak lagi, yang tu lagilah aku belum explore banyak. Lagipun bercuti dalam negara ni kan lebih murah daripada pergi luar, malah aku boleh sokong industri pelancongan tempatan. Keep the economy rolling!

Dah tu macam mana nak jalan-jalan kalau nak kurangkan memandu? Aku akan utamakan kendaraan awam kalau aku nak ke sesuatu tempat. Contohnya, kalau aku nak ke Perlis, aku akan guna bas ekspres atau kereta api.

- Utamakan Bahasa Melayu

Entah kenapa, pada pendapat aku sejak dua tiga tahun kebelakangan ni aku rasa macam hidup aku semakin ditawan oleh Bahasa Inggeris. Aku menetap di Malaysia, tetapi aku rasa macam Bahasa Inggeris yang asing itu lebih diutamakan. Mungkin sebab aku menetap di Kuala Lumpur.

Jadi aku akan utamakan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian aku. Sekarang ni aku dah pun tetapkan bahasa dalam telefon aku ke Bahasa Melayu, sama juga dengan akaun Facebook aku. Kalau aku pergi ATM, aku akan pilih Bahasa Melayu/Malaysia. Kalau buat pesanan di skrin McDonald's, aku akan pilih Bahasa Melayu.


Sebenarnya ini adalah topik yang aku nak tulis dengan lebih mendalam lagi (sebab mungkin anda tidak setuju dengan saya), tetapi mungkin pada masa akan datang sebab aku rasa tulisan ni dah pun lebih panjang daripada apa yang aku selalu tulis.

Adakah ini bermakna aku terus ketepikan kepentingan Bahasa Inggeris? Semestinya tidak!! Sebab itu aku selang bahasa dalam blog ni. Kali ni tulis dalam BM, selepas ini tulis dalam BI pula sebab aku nak berlatih menulis dalam kedua-dua bahasa. BI memang sangat sangat penting. Tetapi itu tidak bermakna aku nak BI jadi bahasa utama dalam hidup aku.

- Hentikan menonton benda cetak rompak

Yang ini agak baru dalam hidup aku. Sebenarnya, sebelum ni kalau aku nak tonton sesuatu filem atau siri televisyen, aku terus cari versi cetak rompak di internet. Yalah, kan lebih senang dan yang penting, percuma!

Tetapi sejak tahun lepas kesedaran aku tentang kesan cetak rompak ni naik sedikit. Sebab di sebalik penerbitan sebarang filem, lagu atau siri TV adalah ratusan krew yang kerja makan gaji dan perlukan duit untuk sara hidup keluarga mereka. Kalau berjuta orang tengok karya mereka secara cetak rompak, macam mana krew produksi ni nak cari makan?

Memang susah aku nak hentikan budaya cetak rompak ni, sebab… aku kena keluarkan duit kalau aku nak tonton sesuatu. Jadi mulai sekarang, kalau aku nak tengok filem, sama ada aku bayar sedikit untuk sewa di iTunes atau yuran bulanan Netflix/iFlix, atau aku tak tengok langsung.

Kesedaran aku tentang isu ni naik sedikit sebab satu perkara yang berlaku pada tahun lepas. Tetapi itu adalah subjek yang aku akan tulis pada lain hari.

--

Baiklah, itu saja azam aku tahun ni, selain benda-benda lain yang perlu diperbaikilah macam menepati masa, jaga kebersihan dan lain-lain. Terima kasih kerana membaca.

Comments

Popular posts from this blog

A Possible Fix For EA Origin Message “We’re sorry, but we’re having some technical difficulties. Please try again later.”

Listening to First-hand Account of a COVID-19 Survivor is Surreal

Shadow Warrior 2 is a fantastic mix of FPS & RPG