"Buy Muslims First?" Tak Apalah, Terima Kasih.

Sepanduk BMF yang terletak di Lembah Keramat.

Beberapa minggu yang lalu, kecoh tentang sebuah kempen di Internet yang telah menular buat seketika, iaitu kempen ‘Buy Muslims First’ atau pendeknya, BMF.

Idea kempen ini adalah untuk menyokong perniagaan daripada para usahawan Muslim, dengan mengutamakan barangan keluaran mereka dan mengurangkan pembelian daripada syarikat-syarikat bukan Muslim. Matlamat kempen ini adalah untuk mewujudkan lebih banyak syarikat yang berjaya daripada kalangan usahawan Muslim.

Sebenarnya kempen ini bukanlah baru. Dah lama dah aku nampak siaran dalam Facebook untuk “utamakan produk Bumiputera” atau “boikot barangan Cina DAP.” Tetapi entah kenapa, tiba-tiba kempen ni jadi popular sehingga mendapat perhatian daripada ahli-ahli politik tertinggi dan juga media arus perdana.

Terus tiba-tiba jadi satu trend untuk menyokong produk-produk buatan Muslim. Dalam garis masa Facebook aku pun, keluarlah siaran daripada beberapa kawan aku yang menyatakan sokongan mereka terhadap kempen ini dan sangat bersungguh-sungguh dalam melakukannya.

Secara jujurnya, aku, sebagai seorang Melayu beragama Islam, tak berminat dengan BMF. Tetapi aku faham dengan objektifnya.

Sebelum aku teruskan, ya, aku sedar yang suasana korporat di Malaysia ni memang didominasi oleh orang bukan Melayu. Lihat sahaja pada senarai orang terkaya di Malaysia, majoritinya adalah orang Cina Malaysia.

Maka, kempen BMF ni diharapkan boleh mendokong para usahawan Muslim yang berstatus industri kecil dan sederhana (IKS) ni boleh bawa ke hadapan untuk menjadi lebih berdaya saing dengan taikun-taikun Cina ini.

Yang ini aku setuju. Sebenarnya sejak kempen BMF ni jadi tular, aku lebih berminat untuk membeli barangan dan mencuba produk-produk IKS, daripada makanan ringan hinggalah sabun. Selain itu, aku juga sudah kurang membeli barang runcit di pasaraya besar. Aku lebih gemar untuk membeli barang-barang tersebut di kedai runcit kecil yang berhampiran dengan rumah aku.

Kalau nak makan luar pun, aku dah kurangkan pergi ke restoran-restoran francais antarabangsa seperti McDonald’s atau KFC. Aku akan makan di restoran yang memang dipunyai oleh tuan kedai itu sendiri. Kalau makan di restoran francais sekali pun, aku akan utamakan francais Malaysia. Kalau bukan restoran, aku akan makan di medan selera yang dikerjakan oleh orang-orang kita yang bersungguh-sungguh untuk menyediakan makanan.

Akan tetapi, adakah aku hanya akan utamakan usahawan-usahawan IKS yang beragama Islam? Tidak. Aku rasa seperti kempen BMF ni hanyalah kempen yang akan memberi keuntungan kepada golongan tertentu sahaja, iaitu orang Islam. Secara asasnya, mengajar pembelian berunsurkan sentimen kepentingan untuk satu kumpulan.

Bukanlah aku tak setuju dengan konsep seperti ini. Jika kita kata ‘Buy Malaysians First’ pun, itu maksudnya kita mengutamakan perniagaan untuk satu golongan sahaja, iaitu perniagaan orang Malaysia.

Dan kalau kita nak cakap tentang pembelian mengikut kepentingan sesuatu kumpulan, pada aku ‘menyokong barangan buatan Malaysia’ adalah lebih sesuai. Aku nak sokong perusahaan saudara-saudari negara aku sendiri, tak kira warna kulit atau pegangan agama.

Mungkin ada yang akan kata aku ni lurus atau naïve. “Tapi orang Cina selama ni asyik sokong bisnes Cina sahaja! Jadi sebagai orang Islam kenalah utamakan perniagaan orang Islam juga!”

Dalam pengalaman aku berkawan dengan ramai orang bukan Melayu, kenyataan di atas tak semestinya betul. Ramai sahaja kawan aku yang berbangsa Cina kena screwed over oleh orang Cina yang lain, sama juga dengan orang India. 

Pada pemerhatian aku, orang takkan utamakan sesuatu perniagaan itu hanya berdasarkan warna kulit mereka. Kalau perkhidmatan cemerlang, produk pun bagus, nescaya akan setialah pelanggan itu kepada sesuatu perniagaan, tak kira bangsa atau agama orang yang mengerjakan perniagaan tersebut.

Itulah hujah yang aku nak sampaikan hari ni. Aku akan utamakan IKS Malaysia yang cemerlang dan memuaskan hati aku, tak kisah pegangan agama pengusaha IKS tersebut. Kalau harga perkhidmatan atau barangan IKS ini mahal sedikit pun tak apa, sebab aku nak tengok lebih banyak syarikat IKS Malaysia naik.

Dalam erti kata yang lain, kalau boleh pilih antara perniagaan Muslim dari negara luar atau perniagaan bukan Muslim dari Malaysia, aku akan pilih yang kedua. Malaysians First, no?

Aku bangga dengan semua jenama besar dari Malaysia yang berjaya berkembang ke persada antarabangsa, dan kita boleh bawa lebih banyak lagi, dengan sokongan kita semua!

Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

A Possible Fix For EA Origin Message “We’re sorry, but we’re having some technical difficulties. Please try again later.”

Listening to First-hand Account of a COVID-19 Survivor is Surreal

Shadow Warrior 2 is a fantastic mix of FPS & RPG