Sabah & Sarawak Negeri-Negeri Paling Malaysia
Gambar daripada sambutan Hari Malaysia 2019. Aku datang Kuching hari tu ingat nak tengok, tapi aku sempat tengok raptai sahaja.
Aku tertarik dengan sepucuk surat pembaca yang diterbitkan dalam The Star, bertajuk Extremist views chipping away at the Malaysia I know. Dalam artikel tersebut, penulis, iaitu seorang pensyarah seni bina di UCSI University, mengatakan bahawa pandangan-pandangan yang konservatif kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia, terutamanya di Semenanjung.
Penulis mengatakan negeri-negeri Borneo adalah Malaysia yang ‘sebenar’ manakala negeri-negeri Semenanjung dah ‘gone case’.
Ini adalah kerana rakyat Sabah dan Sarawak yang merangkumi bermacam bangsa dan agama (lebih banyak daripada Semenanjung!) hidup lebih harmoni dan saling menghormati daripada rakyat Semenanjung.
Penulis yang beragama Islam itu juga turut berkongsi pengalamannya dalam membesar dengan bahan bacaan yang mempunyai unsur-unsur Kristian, serta belajar tentang agama lain semasa beliau berada di Amerika Syarikat. Walaupun membaca bahan-bahan yang tidak Islamik, ia tidak menggugat iman beliau.
Sebenarnya, aku pun setuju dengan dia. Selalu aku dengar, banyak keluarga di Sabah-Sarawak mempunyai ahli daripada pelbagai latar belakang agama, daripada agama tradisional di negeri-negeri Borneo hinggalah kepada agama-agama Samawi (Abrahamic faiths). Tetapi mereka semua saling menghormati dan tak kecoh sangat tentang perbezaan agama.
Antara contoh yang paling ketara ialah seperti yang tertera dalam gambar di bawah:
Poster di atas merupakan sebuah majlis Kristian yang dianjurkan di Sipitang, Sabah. Dan yang dijadualkan untuk datang ialah… Datuk Seri Shafie Apdal, seorang Muslim.
Aku sebenarnya tak pasti sangat kalau majlis ni dijalankan atau tidak, sebab ada seorang ahli politik ni menyoal tujuan majlis tersebut, sama ada ia betul-betul majlis kerohanian atau majlis politik.
Tetapi yang ingin aku ketengahkan di sini ialah kesanggupan seorang ahli politik besar yang beragama Islam untuk hadir ke sebuah majlis Kristian. Siap buat poster dalam Bahasa Melayu lagi.
Cuba kalau majlis yang serupa, dengan poster yang serupa, diadakan di Semenanjung. Majlis Kristian, kemudian letak muka seorang ahli politik Muslim di situ. Fuh, mahunya kecoh satu negara. Mesti akan tular di media sosial. Parti-parti politik pun mulalah guna retorik ‘agenda liberisasi’, ‘agenda Kristianisasi’ dan sebagainya.
Adakah ini bermakna aku tiba-tiba nak semua ahli politik Muslim di Semenanjung mula merasmikan majlis-majlis agama selain Islam? Tidaklah sampai begitu, tetapi kalau ada ahli politik Muslim yang nak mula buat pun aku tak kisah.
Hujah yang aku ingin buat di sini ialah, mungkin orang Semenanjung boleh belajar untuk ambil chill pill daripada saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak. Aku tak kisah kaum apa pun, orang-orang Semenanjung kena relax macam orang-orang Borneo.
Walaupun negeri-negeri tersebut ramai orang Kristian (ada yang mengatakan penganut agama itu adalah majoriti), orang Islam tetap dihormati dan boleh menjalankan ibadat seperti biasa.
Manakala kita orang Semenanjung usah cepat sangat nak melompat kalau rasa macam ada sedikit sahaja benda yang ‘berunsur Kristian’ datang ‘mencabar kedaulatan Islam sebaga agama rasmi negara.’
Kemungkinan besar itu cuma imaginasi atau pun retorik orang politik semata-mata. Biasalah, taktik fearmongering ni memang sangat berkesan. Bukan sahaja di Malaysia, di Eropah pun.
Di sana, mereka kata Eropah ni dalam proses Islamisasi. Di sini pula, proses Kristianisasi. Haih, entahlah. Agaknya menyalahkan pihak minoriti adalah benda yang paling senang untuk mendapatkan sokongan majoriti kot.
Sekian.
Nota kaki: Dalam surat The Star tu, penulis kata Datuk Seri Shafie Apdal patut dipertimbangkan untuk jawatan PM. Yang tu aku tak sokong sangat. Sebenarnya, aku harap aku boleh tengok orang daripada Borneo untuk menyandang jawatan tersebut sebelum aku mati, tapi aku rasa Shafie Apdal bukanlah orangnya. Kena cari orang macam arwah Adenan Satem.


Comments
Post a Comment